Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor perlu kekal status negeri pengeluar utama atlet negara

BANGI, 10 OGOS: Selangor perlu menggunakan semua kepakaran seperti ditawarkan oleh Unit Penyampaian Smart Selangor (SDDU) dan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) dalam usaha membangunkan atlet bagi mengekalkan status sebagai negeri pengeluar utama atlet negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata, sebelum ini Selangor menggunakan pendekatan dengan meningkatkan penggunaan sains sukan dan membuka pusat latihan sukan di setiap daerah.

“Kita tidak boleh berhenti di situ sahaja, kita perlu ketengahkan sudut pemantauan lebih teliti dengan memperkenalkan aplikasi baharu dan sebagainya.

“Di peringkat Kerajaan Negeri kita ada SDDU dan Majlis SITEC bagi melatih penggunaan teknologi dan aplikasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) Ke-13 di RHR Hotel Uniten Bangi, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sudah sampai masanya MSN dan agensi terbabit dalam pembangunan sukan memanfaatkan kepakaran ditawarkan SDDU dan SITEC.

Katanya, antaranya membabitkan kaedah penyediaan pangkalan data untuk digunakan dalam membangunkan bakat baharu.