Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor, Putrajaya & KL diramal alami ribut petir sehingga Sabtu

SHAH ALAM, 16 OGOS: Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dijangka mengalami cuaca hujan dan ribut petir sehingga esok (Sabtu).

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, beberapa daerah di Selangor antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Sepang diramal hujan serta ribut petir pada sebelah siang.

Namun, pada sebelah malam diramal tiada hujan di kawasan terbabit.

Bagi kawasan Gombak, Hulu Selangor dan Hulu Langat pula diramalkan hujan dan ribut petir, pada waktu petang.

Kawasan Petaling dijangka tidak mengalami hujan sehingga Rabu depan.

Di Kuala Lumpur pula hujan dan ribut petir diramal di satu dua tempat, pada petang Sabtu manakala cuaca dijangka baik pada keesokan hari.

Bagi kawasan Putrajaya, hujan dan ribut petir dijangka pada waktu pagi dari esok sehingga lusa, manakala cuaca diramal baik dari Ahad sehingga Rabu ini.