SHAH ALAM, 4 OGOS : Hampir semua lif pada bangunan perumahan kos rendah di negeri ini telah diganti melalui Skim CERIA.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil sejak penubuhan skim berkenaan bermula dari 2009 hingga 2011.
“Walaupun tidak semua lif digantikan tetapi saya pasti kebanyakan lif lama telahpun digantikan melalui Skim CERIA ini, dan ia adalah melalui portfolio EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha.
“Sementara untuk pemeriksan lif adalah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan yang membuat pemantauan,” katanya kepada media ketika Karnival 3W peringkat Majlis Bandraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian lif Projek Perumahan Rakyat Kerinchi yang dilaporkan terhempas dari tingkat lima dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi.
Sebelum ini SelangorKini melaporkan Kerajaan Negeri melalui Belanjawan 2019 mencadangkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meneruskan Skim CERIA pada tahun ini bagi membantu proses baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos rendah dan sederhana berharga RM42,000 hingga RM150,000.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sejak mula dilaksana pada Disember 2010 sehingga setakat Disember 2017, sejumlah 283 kawasan dengan 849 blok pangsapuri telah menerima manfaatnya dengan anggaran kos keseluruhan RM92.2 juta.
Langkah itu diambil ekoran kos penyenggaraan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa dan ia di luar kemampuan pemilik dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk membuat pembaikan.
Dari itu, Skim CERIA adalah elemen penyelamat kepada JMB dalam menguruskan kerja-kerja sivil, penyenggaraan lif dan pengindahan.
Bantuan Skim CERIA ini meliputi anggaran manfaat melebihi 171,700 unit kediaman dengan rangkuman seramai 858,500 penduduk di pangsapuri-pangsapuri berkenaan.