Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jauhi kerenah birokrasi, tingkat produktiviti kerja

SHAH ALAM, 11 SEPT: Penjawat awam di Selangor diingatkan supaya mengurangkan perkara membabitkan kerenah birokrasi dalam sesebuah agensi atau jabatan Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, penjawat awam sebaliknya perlu lebih serius dalam meningkatkan mutu dan produktiviti di tempat kerja.

“Dalam hal ini, ketua jabatan harus berperanan dalam menyemak semula proses dan cara kerja di jabatan masing-masing selain menyokong budaya kreatif serta inovatif di setiap agensi.

“Persekitaran dan budaya kerja yang mendorong kepada penyuburan nilai-nilai inovasi dan kreativiti perlu disemarakkan kerana sikap memupuk budaya ini di peringkat jabatan bermula daripada pucuk kepimpinan atasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2019, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor.

Pada masa sama, Mohd Amin menggesa setiap ketua jabatan untuk mengaplikasikan gagasan kepimpinan inovasi (Innovation Leadership) dalam organisasi dan bukan sekadar memimpin secara biasa sahaja.

Katanya, gagasan berkenaan mampu menjadikan sesebuah organisasi untuk menjadi lebih progresif dan ke hadapan berbanding pesaing lain.

“Ini tanggungjawab kita sebagai pemimpin dengan menampilkan pendekatan yang dinamik kepada pembangunan organisasi.

“Mereka (warga kerja) wajar diberi galakan dan keyakinan, khususnya dalam menghasilkan idea, produk mahupun perkhidmatan yang kreatif,” katanya.