Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Jerebu: Dua lagi sekolah ditutup di Selangor

SHAH ALAM, 12 SEPT: Dua lagi sekolah di negeri ini ditutup akibat Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras sangat tidak sihat, sehingga petang ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Muhamad Radzi Abdullah berkata, dua sekolah berkenaan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pendamar di Klang dan SK Bukit Naga, Shah Alam.

Katanya, ia sekali gus menjadikan lima sekolah ditutup sehingga, hari ini.

“Sekali lagi diingatkan, sekiranya pihak sekolah mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu menutup sekolah serta-merta sehingga keadaan kembali pulih.

“Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam dan akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu pada jam 8 pagi tadi, JPS mengumumkan tiga sekolah ditutup di Johan Setia, Klang termasuk SK Jalan Kebun, SK Kampung Johan Setia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Penutupan itu dibuat ekoran bacaan IPU di lokasi berkenaan mencecah tahap kualiti sangat tidak sihat.