Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jerebu: Penutupan sekolah bergantung bacaan IPU esok

SHAH ALAM, 16 SEPT: Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) menggesa supaya kakitangan pentadbir sekolah di negeri itu peka dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memantau sama ada sekolah akan ditutup atau tidak, pada esok.

Timbalan Pengarahnya, Muhamad Radzi Abdullah berkata, sekolah akan ditutup jika bacaan IPU melepasi tahap 200 iaitu paras sangat tidak sihat.

“Semua sekolah diingatkan supaya merujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan diberikan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, JPS pada 13 September lalu mengumumkan 29 sekolah di Selangor ditutup akibat paras IPU berada pada tahap sangat tidak sihat.

Antara daerah berkaitan ialah Klang dan Kuala Langat membabitkan kira-kira 45,265 pelajar sekolah.