Categories
AGENSI SELANGOR

Pasangan muda gembira dirai dalam Nikah Perdana

GOMBAK, 1 SEPT: Pasangan pengantin, Mohamad Shafiq Mohamad Shaharani, 22, dan isteri, Sharifah Nur Ain Syed Sulaiman, 23 memilih untuk berkahwin pada usia muda kerana mahu mengelak berlaku perkara bertentangan dengan hukum agama.

Mohamad Syafiq, seorang Guru Tahfiz berkata, keputusan itu dipersetujui kedua ibu bapa dan keluarga mertua malah mereka menyokong penuh hasrat mereka.

“Zaman sekarang maksiat juga boleh dilakukan hanya di hujung jari. Maka, perkahwinan ini lebih cepat lagi bagus.

“Ini boleh mengelakkan pasangan dari melakukan perkara yang tidak baik. Sebelum itu saya berbincang dengan keluarga terlebih dahulu dan kami memilih untuk berkahwin secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di program Sambutan Maal Hijrah 1441H dan Majlis Pernikahan Perdana di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, di sini.

Pasangan Muhammad Affandi Khalil dan Nurul Apika Kamarudin turut serta dalam Sambutan Maal Hijrah 1441H dan Majlis Pernikahan Perdana di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak pada 1 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, pasangan Muhammad Affandi Khalil, 22, dan Nurul Apika Kamarudin, 22, berkata, mereka hanya mengeluarkan belanja sekitar RM2,000 untuk persiapan majlis perkahwinan.

Muhammad Affandi dari Melaka, memuji usaha pihak masjid sebagai pemudahcara pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

“Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi ia juga meriah kerana bukan sahaja diraikan keluarga malah pihak lain juga.

“Biasanya kita perlu mengambil masa yang lama mengumpul duit untuk berkahwin tetapi dengan cara ini kita boleh berjimat dan menggunakannya pada keperluan selepas berkahwin,” katanya.

Seramai lima pasangan muda turut serta dan dinikahkan pada program berkenaan.

Pasangan pengantin diijab qabulkan bersempena mengambil keberkatan tarikh 1 Muharam 1441H yang sangat penting dalam kalendar umat Islam.