Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya sasar anjur kempen pemilikan rumah tarik pembeli dari China

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Putrajaya menyasar menganjurkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sama ada di China atau Hong Kong, bagi menarik pembeli China untuk datang dan melabur dalam pasaran hartanah tempatan, yang lebih murah berbanding pasaran lain, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Saya berfikir bahawa kita boleh menganjurkan kempen HOC ini (di China atau di Hong Kong) .. (kerana) ia lebih murah untuk membeli sebuah rumah di sini.

“Saya pergi ke sebuah flat berkeluasan 250 kaki persegi bernilai RM3 juta di Hong Kong, dan berkata malahan menteri pun tidak mampu untuk membeli hartanah di Hong Kong,” katanya kepada pemberita pada Pameran Smart Cities Asia 2019 ke-5, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zuraida berkata hanya rumah mewah akan dijual kepada pelabur China.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat projek rumah mewah yang bernilai kira-kira RM100 bilion tidak terjual di negara ini.

Menurutnya, kementerian beliau akan membincangkan isu itu dengan kabinet dan berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk melaksanakan kempen tersebut.

Kempen pemilikan rumah tersebut merupakan inisiatif diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2019, di mana pembeli rumah tempatan akan dikecualikan daripada dikenakan duti setem bagi pembelian unit kediaman yang dibina antara Januari dan Disember 2019.

Pemaju juga akan menawarkan diskaun dan pakej menarik untuk pembelian rumah dibuat semasa tempoh ini.

Kempen Pemilikan Rumah itu terbuka kepada semua pembeli rumah bagi menggalakkan pemilikan hartanah.

-BERNAMA