Categories
AGENDA NASIONAL

23,476 kenderaan dipanggil Honda Malaysia

SHAH ALAM, 4 OKT: Honda Malaysia memanggil 23,476 kenderaan jenamanya yang pernah diminta berbuat demikian sebelum ini, bagi menukar pengepam beg udara Takata bahagian hadapan pemandu dan penumpang.

Dalam kenyataannya, Honda Malaysia memaklumkan, antara model dipanggil bagi penukaran pengepam beg udara Takata pemandu hadapan adalah Civic yang dikeluarkan pada 2006 hingga 2007 dan 2009 hingga 2011; CR-V (2007 – 2008 & 2010 – 2011); Stream (2010 dan 2012); Insight (2011 – 2012); City (2009 – 2013) serta Jazz (2012 – 2013).

Katanya, manakala Accord (2003 dan 2005 – 2006, 2008 – 2009 dan 2011 – 2012); Stream (2003 – 2005); CR-V (2002 – 2009); Jazz (2003 – 2007, 2009 dan 2012); City (2003 – 2009); dan Civic (2003 – 2011) pula dipanggil untuk penukaran pengepam beg udara Takata bahagian penumpang.

“Pelanggan yang terjejas akan menerima surat makluman daripada Honda Malaysia membabitkan butiran panggilan semula dan kesediaan stok manakala kos penukaran adalah percuma serta ditanggung sepenuhnya syarikat kami.

“Kami memohon maaf di atas kesulitan dihadapi. Keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Honda Malaysia,” katanya.

Sementara itu, syarikat pengeluar kereta itu menegaskan model semasa yang dijual kepada pelanggan domestik tidak terjejas dan pihaknya akan terus mengawal ketat serta telus bagi memastikan keselamatan pelanggan.

“Kami menasihatkan pelanggan yang menerima surat makluman untuk menghantar kenderaan mereka di mana-mana 95 cawangan pusat servis Honda berdaftar untuk pemeriksaan dan penukaran.

“Stok penggantian pengepam beg udara Takata bahagian hadapan boleh didapati secara berperingkat dan kami akan memastikan kesediaan sepenuhnya stok berkenaan dalam jangka masa singkat,” katanya.