Categories
AGENDA NASIONAL

Fauziah Nawi syukur mayat anak ditemui dalam keadaan sempurna

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Ibu kepada Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif, Fauziah Nawi melahirkan rasa syukur kerana mayat anaknya itu berjaya ditemui dalam keadaan sempurna, walaupun selepas dua hari berada di dalam air, akibat lemas.

Menerusi video secara langsung di Facebooknya, Fauziah, 66, berkata jenazah anaknya itu kini telah dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat.

“Syukur alhamdullilah, saya diberitahu bahawa pihak bomba yang menjumpai jenazah anak saya, tidak pernah menjumpai mayat orang secantik itu, walaupun dah dua hari di dalam air.

“Pitt, mama minta maaf sebab mama tidak dapat jaga Pitt macam mama janji dengan arwah babah,” katanya sambil bergelinangan air mata dalam video yang dimuat naik sejurus selepas mayat berkenaan ditemui di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis petang ini.

Selain itu, Fauziah juga memohon kepada semua pihak agar tidak menghubunginya melalui telefon buat masa sekarang, kerana sudah letih menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

“Tolong jangan telefon dulu, saya tidak larat nak jawab. Anak saya akan dibawa ke Hospital Kuala Lipis kemudian baru dibawa balik, tidak tahu hendak bawa balik ke rumah saya di Taman Melawati atau rumah besan saya, di mana dia tinggal bersama anak-anak dan isterinya,” katanya.

Pada masa yang sama Fauziah Nawi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi dan menyelamat anaknya itu.

Polis menemui mayat pengarah filem itu pada jam 4.25 petang tadi dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki bersama rakan untuk memancing, terbalik berhampiran Jambatan Gemunchur di Sungai Jelai dan pihak berkuasa mula mengaktifkan usaha mencari serta menyelamat selepas menerima laporan pada jam lebih kurang jam 1 tengah hari.

Difahamkan, Firdaus berada di daerah itu bagi menyiapkan penggambaran filem ‘Coast Guard’ yang bermula kira-kira dua bulan lalu.

-BERNAMA