Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jadikan insiden pencemaran air sebagai iktibar

GOMBAK, 6 OKT: Kejadian pencemaran air di Sungai Selangor di Bestari Jaya dan Sungai Semenyih perlu dijadikan iktibar supaya sumber air utama sentiasa selamat untuk kegunaan seharian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pencemaran yang berlaku mengakibatkan jutaan akaun pengguna terjejas selain kerugian dalam pelbagai sektor susulan kebergantungan terhadap penggunaan air.

Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara sungai yang satu ketika dahulu pernah menjadi sumber pengangkutan utama serta dijadikan tempat tinggal.

“Walaupun semakin moden dan maju tetapi air sungai masih menjadi keperluan utama kita.

“Saya beri contoh kejadian (pencemaran) yang melanda sehingga jutaan akaun (pengguna) terganggu dengan kes terbaru di Semenyih.

Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Cintai Sungai Kita Sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Majlis Perbandaran Selayang 2019, di Ulu Yam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kalau kita kira satu rumah ada tiga orang ia sekurang-kurangnya mengakibatkan satu juta orang terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Cintai Sungai Kita Sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Majlis Perbandaran Selayang di GIBS Ecotourism Resort, Ulu Yam.

Amirudin berkata, jika pencemaran sumber air utama berlaku di Sungai Selangor dan Sungai Kuala Langat, ia mungkin dapat diselesaikan tetapi turut menghakis kepercayaan pengguna ekoran pencemaran bau yang mengundang rasa tidak selesa.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah mengarahkan semua agensi utama di peringkat negeri seperti Pengurusan Air Selangor Berhad, Indah Water Konsortium, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk duduk bersama bagi mencari langkah terbaik supaya bergerak seiring pemantauan.

Selain itu, Kerajaan Negeri sedia mengumumkan pemberian insentif dalam pembentangan belanjawan akan datang kepada pihak yang membantu menyalurkan maklumat berhubung pencemaran air sungai serta mengenakan hukuman denda maksimum kepada pesalah.