Categories
AGENSI SELANGOR

Karnival Sukan Kolektor XI meriah, pamer koleksi jersi seluruh negara

BANGI, 26 OKT: Karnival Sukan Kolektor XI Edisi Kedua 2019 berlangsung meriah di Pusat Sukan Upowtown Bangi, hari ini dengan penyertaan hampir 40 pempamer jersi dari seluruh negara.

Berlangsung sejak jam 8 pagi, karnival anjuran Kolektor XI turut menampilkan beberapa nama besar dalam sukan bola sepak tempatan seperti Indra Putra Mahyuddin, Azman Adnan, Malek Rahman dan Azizon Kadir.

Karnival ini dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Asisten Komisioner (B) Md Dali Wahid yang turut menganjurkan perlawanan futsal membabitkan tiga kategori iaitu Liga Legenda, Terbuka Lelaki dan Wanita.

Selain jersi pasukan liga tempatan seperti Selangor, Perak dan Terengganu, karnival ini turut mempamerkan jersi beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Liverpool, Manchester United, Chelsea, Real Madrid, Inter Milan, Juventus dan AC Milan.

Paling mencuri tumpuan adalah koleksi jersi skuad Harimau Malaya yang diketuai Syahrul Niezam Khalid, 43, bersama empat lagi pengumpul.

Katanya, untuk pameran kali ini beliau membawa lebih 20 jersi Malaysia yang telah dikumpul sejak 2010.

“Antara jersi Malaysia yang paling mahal saya beli adalah jersi Malaysia ‘away’ 1994 berharga RM1,000 dari seorang pengumpul dari Thailand.

“Antara cabaran besar yang dihadapi sebagai pengumpul jersi adalah dari segi cara penjagaan dan harga pasaran untuk membelinya,” katanya.

Mohd Nizam Anuar bersama sebahagian koleksi jersi Selangor yang dipamerkan sempena Karnival Sukan Kolektor XI Edisi Kedua 2019 di Pusat Sukan Upowtown Bangi pada 26 Oktober 2019.

Bagi Mohd Nizam Anuar, 35, beliau mempamerkan koleksi jersi Selangor yang mula dikumpul secara serius pada 2012.

Katanya, setiap helai jersi Red Giants yang disimpan mempunyai kisah tersendiri.

“Saya mula kumpul jersi Selangor sejak 1991. Ketika itu tidak mementingkan bab penjagaan sebelum mengumpul dan menjaganya secara serius pada 2012.

“Jersi paling saya sayang adalah jersi Selangor 1988/89 yang dibeli dengan harga RM1,800 pada 2014.

“Saya sayang jersi ini kerana ia milik pemain sendiri, material baju dan sejarah tersendiri.

“Saya tidak berhasrat untuk menjual koleksi yang ada tetapi jika berpeluang, saya bersedia untuk berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) jika mereka mahu membelinya,” katanya.