Categories
PBT SELANGOR

KDEBWM Petaling Jaya genggam Piala Pengarah Urusan 2019

SHAH ALAM, 27 OKT: Pasukan KDEB Waste Management (KDEBWM) Cawangan Petaling Jaya muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Urusan 2019 selepas mengalahkan pasukan gabungan Shah Alam dan Klang 1-0, pada perlawanan akhir, di Stadium Rhino KV Arena, di sini hari ini.

Muhammad Adli Zulgafli muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Petaling Jaya menjulang trofi buat pertama kali pada cabaran edisi kedua itu.

Kemenangan itu turut melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang piala iringan dan baucar bernilai RM1,000 daripada Kaki Jersi.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, sebanyak lapan pasukan mewakili 11 cawangan KDEBWM bersaing bagi memburu piala berkenaan.

Katanya, acara tahunan itu sebagai pendekatan memperkukuh hubungan silaturahim, selain menggalakkan warga kerja untuk turut aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.

“Tahun lalu kita hanya ada enam penyertaan, tetapi tahun ini menyaksikan penambahan dua pasukan dengan 160 pemain secara keseluruhannya selepas kita mengambil alih 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kecuali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

“Ia membabitkan pasukan pasukan gabungan antara Shah Alam dan Klang; Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor; Sepang dan Kuala Langat termasuk pasukan Selayang, Ampang Jaya, Subang Jaya, Petaling Jaya serta Kajang,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan menyaksikan dua pasukan terbaik setiap kumpulan meneruskan kemaraan ke perlawanan separuh akhir sebelum ke pentas akhir.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sukan bola sepak dipilih memandangkan ia adalah permainan paling mendapat perhatian dan digemari semua lapisan umur.

“Sukan ini bukan sahaja boleh menyihatkan jasmani, malahan fizikal dan mental. Paling penting, kita mahu menunjukkan persefahaman dengan semua warga kerja daripada cawangan lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihaknya sedang merangka banyak lagi program lain berkaitan sukan bagi menggalakkan pembabitan kakitangan seperti boling, badminton dan berbasikal.

“Kita komited memastikan semua warga kerja KDEBWM bukan sahaja fokus terhadap kerja, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan aktiviti riadah termasuk ibadah supaya kehidupan menjadi seimbang daripada segi emosi dan mental.

“Ini sekali gus mendorong mereka untuk sentiasa memberikan perkhidmataan terbaik kepada syarikat,” katanya.

Terdahulu, acara lain yang turut dijalankan sepanjang kejohanan itu adalah raptai antara cawangan dengan mengangat tema kelestarian kitar semula dan cabutan bertuah.