Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi susulan peningkatan harga minyak

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan awal pagi ini berikutan peningkatan sentimen pasaran susulan harga minyak global yang tinggi.

Pada 9.22 pagi, unit tempatan berada pada 4.1790/1820 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 pada paras penutup semalam.

Seorang peniaga berkata, harga minyak global meningkat susulan petanda kemajuan rundingan penyelesaian pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang seterusnya meningkatkan sentimen terhadap ringgit kerana ini memberi prospek positif kepada hasil minyak dan gas Malaysia.

“Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.2 peratus kepada US$59.10 setong manakala niaga hadapan US West Texas Intermediate (WTI) naik 0.3 peratus kepada US$53.49 setong,” katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecual dolar Singapura di mana ia susut kepada 3.0719/0745 daripada 3.0713/0751 daripada paras penutup semalam.

Ringgit naik berbanding yen kepada 3.8442/8480 daripada 3.8493/8541, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4227/4270 daripada 5.4269/4333 dan menambah berbanding euro kepada 4.6621/6659 daripada 4.6678/6731.

-BERNAMA