Categories
AGENDA NASIONAL

RM4 bilion tanah kerajaan dijual pada zaman BN

SHAH ALAM, 9 OKT: Sebanyak 16 lot tanah kerajaan sudah dijual ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dari 2010 sehingga 2017 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan berkata, kebanyakan penjualan tanah itu juga dilakukan secara rundingan terus.

“Kerajaan Persekutuan (di bawah) Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak pernah membuat sebarang penjualan tanah milik kerajaan, walaupun terdapat dakwaan menyatakan sebaliknya.

“Pada masa sama, lebih RM4 bilion tanah milik Kerajaan Persekutuan dijual kerajaan terdahulu antara 2010 hingga 2017,” katanya.

Berdasarkan rekod penjualan 16 lot tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dari 2010 sehingga September 2019, tanah di Seksyen 51, Kuala Lumpur adalah tanah kerajaan yang mencatatkan harga jualan tertinggi berjumlah RM1 bilion pada 2013 melalui rundingan terus seluas 20.01 ekar.

Manakala tanah di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor seluas 19.85 ekar pula dijual pada harga paling rendah iaitu RM40 juta pada 2013 melalui rundingan terus.

Pada masa sama, Guan Eng turut mengingatkan pemimpin terdahulu supaya menghentikan dakwaan yang terus menuduh pentadbiran PAKATAN menjual aset dan tanah kerajaan.

“Pemimpin pentadbiran lalu yang terus-menerus menuduh kerajaan PAKATAN menjual tanah dan aset kerajaan harus menghentikan dakwaan mereka yang tidak berasaskan fakta, dan akui bahawa ini adalah satu amalan lazim kerajaan yang mereka anggotai dahulu.

“Harus ditekankan juga bahawa urusan penyahlaburan dan pelupusan bukan-teras dan bukan-kritikal aset negara adalah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri serta bertujuan mengimbangkan kembali portfolio kerajaan juga penjajarkan kembali peranan sektor awam,” katanya.