Categories
AGENDA NASIONAL

Strategi keterangkuman wilayah pastikan agihan pembangunan negeri saksama

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Keterangkuman wilayah, yang merupakan satu daripada tujuh Teras Strategik dibangunkan sebagai kunci untuk menjayakan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) adalah strategi kerajaan dalam memastikan pengagihan pembangunan kepada semua negeri di Malaysia secara saksama serta mewujudkan pembangunan ekonomi tidak berpusat dari segi geografi.

Menurut Buku WKB2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, pemilihan strategi bagi setiap lokasi yang ditetapkan dalam meningkatkan aktiviti ekonomi adalah berasaskan kepada kekuatan dan keunikan di kawasan tersebut.

Antara cadangan pemfokusan ekonomi tersebut termasuk ekonomi sempadan dan logistik (Perlis); perindustrian teknologi tinggi (Pulau Pinang); pembuatan automotif (Selangor); hub kewangan serantau (Kuala Lumpur); pelancongan warisan (Kelantan); hub pendidikan menengah (Terengganu); pelancongan pulau (Sabah) dan tenaga boleh baharu (Sarawak).

Mengikut buku WKB2030 itu, Malaysia telah membangun dengan pesat terutama selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, namun aktiviti ekonomi yang bernilai ditambah tinggi lebih tertumpu di di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya; Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

“Tumpuan ekonomi di beberapa negeri tersebut telah memberi kesan kepada ketidakseimbangan antara negeri, wilayah serta bandar dan luar bandar,” menurut buku berkenaan sambil menambah antara permasalahan yang timbul termasuk migrasi yang memberikan kesan negatif kepada pelbagai elemen sosioekonomi di kawasan bandar dan luar bandar, antaranya adalah penawaran kerja terhad di kawasan bandar dan kekurangan tenaga kerja di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, kerajaan menggariskan sembilan strategi berkaitan keterangkuman wilayah bagi menyelesaikan permasalahan yang telah dikenal pasti iaitu mengadakan pemetaan kawasan titik tumpuan ekonomi yang berpotensi untuk dibangunkan bagi memudahkan perancangan pembangunan di kawasan berkenaan serta menetapkan indikator pengukuran yang lebih baik dalam peningkatan pendapatan, kemajuan perniagaan dan pembangunan ekonomi secara geografi terutama di kawasan luar bandar.

Melaksanakan pelan tindakan pembangunan luar bandar yang lebih holistik dengan mengambil kira pembangunan ekosistem, bakat/sumber manusia, pembiayaan, kemahiran dan keusahawanan, logistik dan perhubungan; membangunkan kawasan pinggir dan luar bandar serta tanah yang tidak diusahakan supaya lebih berdaya saing dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan; membangunkan beberapa model bandar rintis baharu selaras dengan Indeks Kemakmuran Bandar; dan mewujudkan industri baharu di kawasan luar bandar bagi membantu meningkatkan nilai ditambah industri.

Sementara itu, bagi memastikan kebajikan semua kelompok masyarakat di Malaysia akan dilindungi terutama golongan dikategorikan sebagai rentan ekonomi dan kumpulan isi rumah B40, kerajaan menggariskan enam cadangan strategi iaitu memperluas sistem perlindungan sosial supaya lebih bersepadu dan komprehensif; memperkenalkan skim caruman pencen secara automatik kepada pekerja dalam sektor tidak formal serta mengkaji semula metodologi penentuan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) supaya lebih relevan dengan situasi semasa, menerusi Teras Strategik Kesejahteraan Sosial.

Selain itu, menggalakkan program kesedaran kewangan berskala nasional yang berterusan termasuk kempen kesedaran pengurusan kewangan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi; memperincikan maklumat bagi menentukan kategori isi rumah kumpulan B40 yang lebih spesifik supaya pemberian bantuan lebih bersasar; dan mengintegrasi pangkalan data bagi memastikan bantuan dapat diberikan kepada kumpulan sasar yang sepatutnya.

Mengikut buku WKB2030 itu, kerajaan juga menekankan Teras Strategik Modal Sosial dalam usaha mengukuhkan penglibatan rakyat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti institusi berasaskan komuniti (CBO), persatuan kejiranan serta kegiatan kesukarelaan yang akan meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi masyarakat dan negara.

“Cabaran yang dikenal pasti dalam teras strategik ini adalah berkait dengan perbezaan pandangan antara rakyat, kekurangan semangat patriotisme dalam kalangan kumpulan belia dan perbezaan polariti pemahaman antara etnik. Kesemua cabaran ini telah mencetuskan isu tekal, iaitu isu sensitif yang berpanjangan, antaranya berkaitan agama, bangsa dan aliran pendidikan yang mengambil masa untuk ditangani,” menurut buku itu.

Justeru, lima cadangan strategi bagi menyelesaikan permasalahan itu telah dikenal pasti termasuk meningkatkan persefahaman dan mewujudkan keharmonian yang berkekalan antara masyarakat berbilang kumpulan etnik dan agama di Malaysia; memupuk semangat kekitaan dengan meraikan kepelbagaian dan menghormati perbezaan pandangan; dan dasar pendidikan serta pelbagai inisiatif perpaduan perlu diperkukuh untuk memastikan kesepaduan dan integrasi masyarakat majmuk Malaysia sentiasa utuh.

-BERNAMA