Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga sekolah di Kuala Selangor ditutup tiga hari

SHAH ALAM, 30 OKT: Tiga sekolah di daerah Kuala Selangor ditutup tiga hari bermula hari ini berikutan sekolah terbabit dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan memaklumkan, sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, SK Ijok dan SK Pasangan.

“Penutupan tiga sekolah itu bermula hari ini sehingga Jumaat selepas kita menerima arahan daripada Pegawai Daerah Kuala Selangor selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor untuk kegunaan PPS.

“Pihak sekolah terbabit diingatkan supaya mengambil tindakan selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Terdahulu, beberapa PPS dibuka susulan banjir melanda di Kuala Selangor sejak Jumaat lalu ekoran fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

Sehingga jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir yang terjejas ditempatkan di PPS mencatatkan peningkatan apabila seramai 873 mangsa membabitkan 282 keluarga terpaksa dipindahkan.