Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Syukur atas kemajuan dan kemakmuran negeri

SHAH ALAM, 31 OKT: Semua lapisan rakyat di Selangor wajar beryukur di atas kemakmuran dikecapi negeri terkaya ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, keadaan ini membolehkan penduduk Selangor menikmati pelbagai pembangunan dan kemajuan negeri itu.

“Semua pemimpin ada tanggungjawab kepada rakyat dan negeri dengan meningkatkan hasil untuk membangunkan Selangor ini.

“Begitu juga di peringkat pusat, kita ada Wawasan Kemakmuran Bersama untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah bertajuk “Musuh Sebenar Kita Ay-Syaitan Ar-Rajim: Kenali Dan Musuhi’ pada Program Penghayatan Islam Dan Majlis Doa Selamat Sempena Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2020
di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.

Bagaimanapun katanya, rakyat juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan untuk membangunkan negeri.

Nik Omar turut mengingat supaya umat Islam tidak mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

Katanya, syaitan sentiasa berusaha memecahbelahkan umat manusia termasuk dalam hubungan keluarga.