Categories
ADN PBT SELANGOR

Laporan penuh kejadian pergerakan tanah di Ampang diserah pada 8 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Laporan penuh berkaitan status sebuah banglo di lereng bukit di Jalan Kelab Ukay 2, Taman Kelab Ukay, Ampang dekat sini dan kejadian pergerakan tanah di kawasan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor pada 8 Januari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata keputusan untuk tindakan terhadap banglo itu, akan ditentukan selepas satu laporan penuh oleh agensi teknikal yang terlibat iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) diperoleh pada tarikh tersebut.

“Pada 8 Januari itu nanti kita akan tahu punca kejadian dan apakah tindakan mitigasi dan pemulihan selanjutnya, terhadap rumah banglo yang terlibat dan juga kawasan sekitar.

“Jadi setakat ini belum ada keputusan muktamad sama ada rumah itu akan dirobohkan. Apa yang penting sekali adalah keselamatan penduduk sekitar dan mengembalikan keyakinan kepada mereka, bahawa kawasan ini selamat untuk diduduki, memandangkan difahamkan kawasan ini antara kawasan bercerun paling sensitif di negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan banglo itu hari ini.

Khamis lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengarahkan banglo tersebut dirobohkan, manakala tiga yang lain dikosongkan, susulan insiden pergerakan tanah itu.

Arahan itu dikeluarkan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku, termasuk kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Susulan kejadian itu banglo berkenaan telah dikosongkan dan pemilik difahamkan kini tinggal bersama anggota keluarga lain di Wangsa Maju, manakala jiran sebelah pula telah mengosongkan kolam renangnya bagi mengurangkan tekanan terhadap kawasan terlibat.

Mengulas sama ada pemilik akan diberikan pampasan, Mohamed Azmin berkata perkara itu akan diperbincangkan pada tarikh yang sama, memandangkan unit banglo itu adalah milik persendirian dan bukan di bawah kerajaan negeri.

-BERNAMA