Categories
SELANGOR

MSU International Songket Run 2.0 catat rekod MBR

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 7 DIS: Penganjuran International Songket Run 2.0 mencatat sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Books of Records (MBR) sebagai ‘The Largest Participation In A Songket Running Event’ dengan jumlah penyertaan lebih 5,000 orang hari ini.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, trek larian meliputi jarak sejauh lima kilometer di sekitar Seksyen 13 bermula dan berakhir di kampus Management and Science University (MSU) disertai pelbagai peringkat umur dan bangsa termasuk pelajar antarabangsa yang mengenakan pelbagai motif busana songket.

DYMM Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin melakukan gimik pelepasan pada International Songket Run di Kampus MSU Seksyen 13, Shah Alam. 7 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pencapaian ini adalah kesinambungan kepada pencapaian pada tahun 2018 apabila mencipta rekod baru MBR berkaitan songket iaitu ‘The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements As Part of Their Dressing’.

“Ini juga merupakan rekod ke-36 MSU dalam Malaysia Book of Records serta merupakan institusi pengajian tinggi paling banyak tersenarai dalam MBR,” katanya.

Dr Mohd Shukri berkata, acara yang dirasmikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin itu adalah inisiatif Jabatan Student and Career Development (SCD) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti tentang kepentingan menghargai warisan songket dari segi pakaian, kraf tangan dan budaya.

“Acara larian edisi ke-2 ini turut bermatlamat untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merangkumi perlaksanaan 17 matlamat bagi pembangunan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, seramai 5,000 peserta dengan pakaian corak songket memulakan larian pada jam 7 pagi. Turut hadir, Naib Canselor MSU, Professor Puan Sri Datuk Junainah Abd Hamid.