Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pelihara nilai estetika telaga tiub artesian terbesar di Malaysia

HULU LANGAT, 31 DIS: Telaga tiub artesian air panas terbesar di Malaysia yang ditemui di Hulu Langat, baru-baru ini akan dipantau secara berkala bagi memastikan suhu, kadar luahan dan nilai estetikanya terpelihara.

Penolong Pengarah (Ahli Geologi/Kajibumi) Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Wan Neqhaikal Wan Abdul Karim berkata telaga yang mengeluarkan air dari bawah tanah tanpa perlu dipam itu berpotensi untuk dibangunkan dan mempu menjana pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

“Pada awalnya, JMG menerima permohonan daripada masjid dan penduduk untuk mendapatkan sumber air di kawasan berkenaan memandangkan kawasan ini mempunyai masalah air bersih.

Wan Neqhaikal Wan Abdul Karim bercakap kepada media ketika lawatan ke Tapak Telaga Air Panas Terbesar di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat pada 31 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Oleh itu, kita membuat siasatan dan kajian di bawah Pembangunan Bekalan Air Bawah Tanah Untuk Kawasan Bermasalah Air Bersih (Waterstress Area). Selepas penggerudian telaga, kita berjaya menemukan sumber air panas ini dalam zon retakan batuan granit kedalaman 53 meter.

“Memandangkan luahan yang sangat banyak berbanding kolam air panas (hotspring) lain, kita maklumkan kepada pihak berkaitan dan penduduk untuk memajukan kawasan ini,” katanya ketika ditemui di tapak telaga berkenaan di Kampung Jawa, Batu 18, Hulu Langat.

Penolong Pengarah Kanan JMG, Mazatul Akmar Aros berkata pihaknya turut membuat kajian dan pemantauan dalam radius satu kilometer dari kawasan berhampiran untuk mencari kawasan air panas lain jika ada.

“Kita tahu memang terdapat kolam air panas kira-kira empat kilometer dari sini tetapi ia bukan artesian. Justeru, JMG dalam kajian untuk melihat jajaran atau kawasan lain jika ada supaya kita dapat jaga dan pelihara.

Penduduk kampung mencuba sumber air panas yang ditemui ketika lawatan ke Tapak Telaga Air Panas Terbesar di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat pada 31 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pada masa sama, kita juga mencadangkan kawasan ini digazetkan dalam kawasan Geo Tapak dan Geo Warisan supaya kelestarian tapak dan nilai estetika serta unsur geologinya terpelihara,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah JMG, Hasnida Zabidi pula berkata pihaknya masih dalam fasa kajian dan memantau luahan secara berterusan.

“Kita melihat dari segi pengekalan nilai Ph selama sebulan ini. Setakat ini kadar imbuhan semula masih kekal dan sifat parameternya juga masih sama.

“Biasanya sumber artesian hanya dijumpai separas dan setinggi landasan, tetapi artesian ini dalam dan memuntahkan luahan yang besar pada kadar 95 hingga 100 meter kiub perjam,” katanya.

Telaga berkedalaman 160 kaki dengan suhu antara 47 hingga 49 darjah Celcius itu dicadang untuk dijadikan produk terbaharu pelancongan memandangkan kawasannya yang strategik dan sesuai untuk aktiviti riadah keluarga, perkhemahan dan sebagainya.

Artesian adalah aliran air semula jadi tanpa perlu dipam yang memiliki paras air lebih tinggi atau separa permukaan tanah di tapak telaga.