Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencemaran Sungai Semenyih: JAS sita sebuah kilang

PUTRAJAYA, 30 DIS: Ops Bau yang dijalankan sejak 23 Disember lepas hingga hari ini susulan dua insiden pencemaran bau serta menjejaskan kualiti bekalan air baru-baru ini, menyaksikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita sebuah kilang, selepas penguatkuasanya memeriksa 106 premis kilang di Selangor dan Negeri Sembilan.

JAS dalam kenyataan hari ini berkata selain itu pihaknya turut mengeluarkan 36 kompaun dan 17 notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang tempoh berkenaan.

“Ops Bau sedang giat dilaksanakan, dengan pemeriksaan rapi ke atas kilang-kilang bagi mengenal pasti, menjejaki, dan menangkap pelaku yang tidak bertanggungjawab,” kata JAS.

Menurutnya siasatan dijalankan sejurus selepas loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup dalam insiden pertama pada 21 Disember lepas.

Dalam kes kedua pada 25 Disember pula, JAS menjalankan siasatan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan sejurus selepas menerima aduan berkenaan penemuan sisa buangan terjadual di tebing Singai Belihoi, Mantin, Negeri Sembilan.

Menurut JAS, tindakan awal membersihkan kawasan tebing Sungai Belihoi telah dilaksanakan bagi mencegah risiko kepada Sungai Linggi, yang menjadi salah satu punca utama bekalan air mentah di kawasan Seremban.

“Dalam operasi pembersihan kawasan selama dua hari bermula Rabu lepas itu, dianggarkan 50 metrik tan sisa tanah tercemar dengan buangan terjadual dihantar ke Kualiti Alam Sdn Bhd untuk pelupusan,” menurut kenyataan itu.

JAS berkata kes disiasat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM500,000 dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

“Pemberi maklumat akan diberi ganjaran di bawah Seksyen 48B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sehingga tertangkapnya pelaku ini, dan pemberi maklumat juga diberi perlindungan di bawah Seksyen 50A, akta yang sama,” katanya.

-BERNAMA