Categories
EXCO SELANGOR

Persidangan medium bincang isu, hala tuju OKU

SERDANG, 14 DIS: Persidangan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor 2019 dilihat menjadi wadah penting bagi Kerajaan Negeri mendapatkan input terkini berhubung isu dan cabaran dihadapi golongan terbabit di negeri berkenaan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, persidangan julung kali bertemakan ‘OKU Berdaya, Penggerak Negara’ itu selaras dengan iltizam dalam membangun status sosial segenap rakyat Selangor termasuk golongan berkaitan.

Katanya, perkara itu memandangkan tuntutan menjaga hak dan kebajikan kelompok istimewa terbabit bukan isu baharu yang perlu diperjuangkan.

“Berikutan itu, kita bergerak lebih ke hadapan dengan menggunakan sumber dan kepakaran dimiliki dalam membangun serta memajukan OKU di Selangor.

“Dengan mewujudkan dasar Anak Istimewa Selangor (AnIS), kita mewujudkan pelbagai program dan bantuan khusus antaranya Program Intervensi Awal (EIP) yang menjadi antara langkah permulaan bagi tujuan ini.

“Kita berharap resolusi daripada persidangan ini akan dapat membantu Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan AnIS, sekali gus dijadikan asas pembentukan (dasar AnIS) yang lebih komprehensif dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Persidangan OKU Selangor 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama peserta OKU pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pemberdayaan OKU Negeri Selangor 2019 di MAEPS, Serdang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Fahda Nur Ahmad Kamar dan Timbalan Pengerusi MTOS merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Sementara itu, Fahda Nur berkata, pihaknya berharap persidangan terbabit menjadi titik tolak kepada permulaan lebih positif untuk penyatuan semua dalam membangun dan mengisi tekad sama, khususnya meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu OKU.

Katanya, selepas setahun ditubuhkan secara rasmi, MTOS mendapati penyatuan golongan OKU, aktivis, sukarelawan dan pemegang taruh isu golongan berkenaan harus direalisasikan.

“Apa yang perlu adalah bagi masyarakat memberi mereka peluang dan ruang secukupnya untuk memastikan pemberdayaan dapat ditingkatkan kerana OKU yang berwibawa pasti akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.

“Kita mahu masyarakat faham dan menghargai bahawa sumbangan kepada OKU tidak terhad kepada dana serta bantuan semata-mata tetapi kedua-duanya saling memerlukan daripada segi pembinaan modal insan,” katanya.

Terdahulu, persidangan selama sehari di bawah kelolaan MTOS dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) itu membabitkan dua sesi perbincangan dan menampilkan barisan panel profesional.

Sesi pertama mengupas isu ‘Anjakan Paradigma Daripada Charity-Based kepada Rights-Based’ manakala sesi kedua membincangkan ‘Perspektif Realist – Menjadikan Usaha Memberdaya OKU Satu Kenyataan’.

Selain itu, peserta turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan penari terdiri daripada kanak-kanak sindrom down yang ditampilkan khas dari ‘Our Kids Are Special’ (ORKIDS) di bawah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor.