Categories
AGENDA GLOBAL

Sekurang-kurangnya 12 maut pesawat terhempas di Almaty

SHAH ALAM, 27 DIS: Sekurang-kurangnya 12 maut dan lebih 20 parah apabila pesawat yang membawa 93 penumpang dan lima anak kapal terhempas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty di Kazakhstan, hari ini.

Menurut laporan terkini Al Jazeera yang memetik agensi penerbangan awam negara itu, pesawat Bek Air “menjunam semasa berlepas dan melanggar pagar konkrit” sebelum menghentam bangunan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty dalam kenyataannya menyebut mereka yang terkorban di tempat kejadian, manakala 22 mengalami kecederaan parah.

Kenyataan itu memaklumkan lapan kanak-kanak dan lima orang dewasa dirawat kerana mengalami kecederaan.

Portal stesen televisyen terkenal itu juga menjelaskan jumlah korban terkini lebih rendah berbanding angka asal akibat kekeliruan pihak berkuasa di negara itu.

Suruhanjaya khas sedang menyiasat punca yang membawa kepada kepada kejadian tersebut, kata pegawai lapangan terbang.

Al Jazeera melaporkan lagi pesawat Fokker 100 itu dijadual meninggalkan Almaty pada 7.05 pagi waktu tempatan (9.05 pagi waktu Malaysia) dan tiba di ibu negaranya, Nur-Sultan pada 8.40 pagi (10.40 pagi waktu Malaysia).