Categories
SELANGOR

UiTM-Fitech Asia jalin kerjasama hasil fabrik atlet Olimpik

SHAH ALAM, 5 DIS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Syarikat Fitech Asia memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) di Hotel Dorsett Grand Subang, di sini, hari ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, MoU itu bertujuan menggalakkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, perkhidmatan, konsultansi, perkongsian ilmu dan kepakaran antara pihak akademia serta industri.

Katanya, kerjasama spesifik itu juga bagi membuat kajian fabrik atlet UiTM iaitu Khairulnizam Mohd Afendy yang akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo pada Ogos 2020 nanti.

“Dalam tempoh kira-kira lapan bulan dari sekarang, pakar dari UiTM dan Fitech Asia akan berganding bahu menjalankan kajian sama ada menerusi ujian padang dan makmal untuk mendapatkan fabrik yang sesuai digunakan Khairulnizam semasa berlayar di perairan Jepun nanti.

“Projek ini melibatkan kerjasama antara Fakulti Sains Gunaan UiTM, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM serta Pusat Sukan UiTM selain Fitech Asia yang akan menjadi rakan industri kita untuk menghasilkan produk ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, ketua kumpulan, Dr Mohd Iqbal Misnon berkata, kajian itu dibuat bagi menghasilkan fabrik terbaik untuk Khairulnizam pakai semasa beliau berlatih dan bertanding.

Katanya, beberapa inovasi akan dibuat berdasarkan pakaian beliau yang sedia ada untuk dihasilkan dengan lebih sesuai mengikut acuan fizikal atlet itu sendiri.

“Hal ini bertujuan supaya fabrik yang dipakai nanti memberi lebih fungsi untuk membantu beliau meningkatkan prestasi dalam perlumbaan yang akan datang.

“Malah, faktor angin, suhu dan kelembapan akan diambil kira bagi menghasilkan pakaian ini dan kita jangkakan untuk perlumbaan Khairulnizam di Australia selepas Sukan SEA nanti, beliau akan mula memakai pakaian berkenaan secara berperingkat sehingga Ogos 2020,” katanya.

Difahamkan, projek itu turut melibatkan beberapa agensi lain seperti Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) selain beberapa ujikaji fabrik akan dibuat di makmal UiTM Shah Alam.

Pada peringkat permulaan, kerjasama itu akan berjalan untuk tempoh tiga tahun dan kemungkinan akan diteruskan bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.