Categories
AGENDA NASIONAL

Affendi mulakan tugas Panglima ATM secara rasmi

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memulakan tugas secara rasmi di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Panglima ATM ke-21 menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dalam majlis serah terima tugas pada 2 Januari lalu.

Sejurus tiba di perkarangan bangunan itu, Affendi, 57, menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormat di Padang Kawad, Dataran Wisma Pertahanan sebelum menuju ke pejabat bagi memulakan tugas.

Affendi yang dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Kuching, Sarawak merupakan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kedua dilantik sebagai Panglima ATM selepas Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Sebelum pelantikan sebagai Panglima ATM, beliau berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Disember 2016.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima TUDM Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.

-BERNAMA