Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor sasar pelaburan RM12 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Selangor menyasarkan pelaburan RM12 bilion pada 2020, mengambil kira perkembangan situasi ekonomi tahun ini, kata EXCO Pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata beberapa strategi diatur antaranya memperhebatkan Misi Menggalak Pelaburan ke 10 buah negara termasuk Asean.

“Berdasarkan unjuran dan analisa antarabangsa, kita yakin sasaran RM12 bilion mampu dicapai. Pada 2018, kita berjaya membawa pelaburan RM18.9 bilion, tertinggi dalam sejarah.

“Manakala setakat September 2019, Selangor mencatat RM16.4 bilion dan masih menunggu angka lengkap daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia,” katanya.

Chang Khim berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Econsave Klang Parade hari ini.

Beliau turut memaklumkan Invest Selangor akan memulakan kerja lebih awal dan melaksanakan strategi merancakkan pelaburan.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang turut yakin pelaburan asing dan tempatan di negeri ini seimbang seperti tiga tahun lalu.

Mengulas konflik membabitkan Amerika Syarikat dan Iran, Chang Khim yakin situasi berkenaan tidak menjejaskan prestasi pelaburan asing ke Malaysia khususnya Selangor.

“Walaupun keadaan itu menimbulkan masalah kestabilan dunia secara keseluruhan tetapi di wilayah ini tidak banyak terjejas, malah mendatangkan kebaikan kerana permintaan antarabangsa yang tinggi,” katanya lagi.