Categories
AGENDA NASIONAL

147 rakyat China dari Hubei tidak dibenar masuk Malaysia

SHAH ALAM, 4 FEB: Seramai 147 warga China dari wilayah Hubei, termasuk dari ibu kotanya Wuhan, dihalang masuk ke Malaysia sehingga semalam, kata menteri dalam negeri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu direkodkan sejak larangan Malaysia terhadap kemasukan rakyat dari wilayah berkenaan pada 27 Januari.

“Jumlah rakyat China dari Wuhan dan Hubei yang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia selepas larangan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga 3 Februari 2020,” katanya di Facebook.

Beliau turut memuatkan angka lengkap warga China yang disekat setiap hari di pintu masuk negara ini, termasuk di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Semalam, 33 orang tidak dibenarkan masuk di Pelabuhan Klang, manakala 32 lagi disekat pada 29 Januari. Di KSAB pula, 30 orang dihalang pada 28 Januari lalu.

Mulai 27 Januari, Malaysia menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat dari wilayah itu termasuk kemudahan tanpa visa (eNTRY), visa semasa ketibaan e-visa dan visa manual.