Categories
AGENDA NASIONAL

Anak tidak sah taraf, JPN cari penyelesaian terbaik

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengkaji beberapa mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu pendaftaran anak tidak sah taraf, kata ketua pengarahnya.

Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara dan pejabat agama negeri bagi tujuan itu, lapor Sinar Harian.

“Kita dalam proses mengkaji dasar sedia ada untuk melihat mekanisme lebih sesuai bagi proses pendaftaran anak tidak sah taraf.

“Setiap negeri mempunyai enakmen berbeza dan salah satu tindakan kita ialah berbincang dengan pejabat agama negeri untuk diselarikan dengan peraturan agama negeri masing-masing,” katanya.

Setakat ini, katanya, terdapat dua pilihan untuk anak tidak sah taraf sama ada dibinkan Abdullah atau menggunakan nama Asmaul Husna.

Seramai 25,567 anak tidak sah taraf didaftarkan di JPN sejak 2019 sehingga Januari tahun ini.