Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lancar pelan tindakan penguatkuasaan import sisa plastik

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik (HS 3915) untuk menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di kawasan lapangan.

Mestecc dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Garis Panduan bagi Pengimportan Sekerap Logam bagi mengawal kemasukan sekerap logam tercemar, tidak homogen dan berkualiti rendah turut dilancarkan untuk memberi panduan berhubung kriteria pengimportan.

Pengukuhan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan alam sekitar di seluruh negara dibincangkan semasa mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab ke atas Alam Sekitar (Mexcoe), jelasnya.

Ia bertujuan memperkasa penguatkuasaan dengan menggunapakai konsep ‘Penguatkuasaan Pintar’, ‘Pengurusan Data Pintar’ dan ‘Analisis Data Raya’ bersama Kerajaan Negeri dalam mengambil tindakan terhadap punca pencemar.

Menerusi mesyuarat Mexcoe yang dipengerusikan menterinya Yeo Bee Yin, kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar akan terus meningkatkan penguatkuasaan dengan sasaran sebanyak 30,000 tindakan seperti perintah larangan, penahanan operasi, kompaun dan tindakan mahkamah bagi tahun ini.

Sepanjang tahun lepas, sebanyak 18,314 tindakan penguatkuasaan telah dicapai berbanding hanya 7,194 pada 2018.

Mesyuarat Mexcoe merupakan forum menggalakkan kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pengurusan isu alam sekitar yang berfungsi menyelaraskan pelaksanaan dasar pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang melibatkan kedua-dua pihak.

Selain itu, ia turut membincangkan isu berhubung penyelarasan program dan aktiviti berkenaan dengan pengurusan alam sekitar dan sumber asli serta mengenal pasti cara-cara memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

-BERNAMA