Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia tidak berisiko alami kemelesetan ekonomi

PUTRAJAYA, 6 FEB: Malaysia tidak berdepan sebarang risiko untuk mengalami kemelesetan walaupun kerajaan berhasrat melaksanakan pakej rangsangan ekonomi, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata pakej yang diumumkan susulan penularan koronavirus 2019 untuk memastikan pertumbuhan ekonomi adalah mampan.

Tanpa mendedahkan tarikh pengumuman pakej tersebut, beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan dengan wakil sektor paling terjejas bagi mengumpulkan maklumat.

Ditanya sama ada pakej rangsangan akan meliputi aspek seperti rebat cukai dan pengurangan kos tenaga, Guan Eng berkata: “Semua ini akan diambil kira dan dipertimbangkan.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Surat Penamatan Bersama yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan DanaInfra Nasional Bhd melibatkan bahagian Sarawak bagi Lebuhraya Pan-Borneo serta surat penamatan bersama bagi membatalkan perjanjian pembiayaan projek terdahulu.

Dalam satu kenyataan semalam, Guan Eng berkata Kementerian Kewangan amat prihatin dengan penularan koronavirus yang memberi kesan kepada ekonomi secara amnya dan sektor pelancongan Malaysia secara khususnya.

“Kementerian Kewangan dipertanggungjawabkan oleh Kabinet untuk merancang pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak ekonomi akibat kesan penularan koronavirus ini yang akan diumumkan pada satu tarikh kelak,” katanya.

-BERNAMA