Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Jangan jual rumah raih untung singkat

KUALA SELANGOR, 16 FEB: Peneroka dari Rancangan Revolusi Hijau yang menerima kediaman di Laman Haris diingatkan tidak menjual rumah untuk mendapatkan wang segera, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata nilai hartanah di kawasan tersebut akan meningkat berikutan pembangunan pesat di Kuala Selangor.

“Saya nasihatkan jangan jadikan rumah ini untuk mencari wang segera. Jangan jual rumah di kawasan yang membangun pesat berbanding Klang yang sudah tepu untuk dibangunkan,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Laman Haris di Eco Grandeur, di sini hari ini.

Beliau berkata akses lebuh raya seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Damansara-Shah Alam dan Pantai Barat menjadikan kawasan tersebut pesat membangun.

Penantian 987 peneroka selama 20 tahun terlerai selepas masing-masing menerima kunci rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,750 kaki persegi bernilai RM450,000 yang dibangunkan Eco World Development Group Berhad.