Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zuraida: Projek kondominium runtuh dihenti serta-merta

SHAH ALAM, 15 FEB: Projek pembinaan kondominium yang runtuh di Taman Desa, Kuala Lumpur petang semalam dihentikan serta-merta, kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Zuraida Kamaruddin berkata arahan tersebut berkuat kuasa sehingga siasatan selesai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) dalam tempoh sebulan.

“Dosh akan selesaikan secepat mungkin siasatan dan sebarang kerja pembinaan di tempat ini akan dihentikan serta merta.

“Saya juga akan koordinasi dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Abdul Samad) untuk lihat punca kejadian serta adakah proses dan spesifikasi yang (digunakan) betul,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam tadi.

Zuraida berkata Dosh sudah mengambil bukti awal berhubung insiden itu dan sebarang tindakan akan dibuat berdasarkan hasil laporan.

Beliau berkata pihak pemaju juga amat kesal dengan kejadian terbabit dan bersedia untuk disiasat pihak berkuasa.

-BERNAMA