Categories
AGENDA NASIONAL

12 hospital ditambah rawat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 30 MAC: Sebanyak 12 lagi hospital ditambah bagi merawat pesakit Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 38 sehingga kini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penambahan itu menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Katanya pada masa sama terdapat peningkatan 70 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 di semua negeri berbanding 57 sebelum ini.

“KKM juga merancang menambah bilangan katil menerusi pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) sebagai pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937.

“Kapasiti ILKKM masih boleh dipertingkatkan lagi jika perlu. Fasiliti lain juga turut dikenalpasti, misalnya Taman Pameran Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) berupaya menyediakan 600 katil,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.