Categories
AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka diniaga tidak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 MAC: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan tidak menentu minggu depan antara paras 1,480 dan 1,490 memandangkan para pelabur masih lagi berhati-hati dengan prospek pertumbuhan ekonomi dunia berikutan penularan wabak Covid-19.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penularan wabak itu di luar China telah menjadi isu yang semakin mendesak.

“Setakat ini, bank-bank pusat utama telah mengambil langkah menurunkan kadar faedah bagi menyokong ekonomi masing-masing akibat daripada penularan Covid-19.

“Pihak berkuasa fiskal juga memainkan peranan dengan menyediakan langkah suntikan fiskal bagi menyokong permintaan domestik.

“Dalam erti kata itu, dasar pengurusan permintaan telah dilaksanakan sepenuhnya dan seharusnya menyediakan kelegaan kepada pelabur memandangkan pemulihan pertumbuhan dijangka berlaku,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, paras sokongan ketika ini berada pada 1,456 mata manakala paras ketahanan pada 1,512 mata.

Afzanizam berkata petunjuk teknikal menunjukkan indeks berada pada kedudukan jualan berlebihan, membayangkan pembetulan teknikal boleh berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Hong Leong Investment Bank Research dalam nota penyelidikannya berkata ia merupakan minggu yang sukar bagi pasaran global dengan ekuiti mengalami turun dan naik sepanjang minggu apabila pelabur diselubungi kebimbangan terhadap wabak Covid-19.

Ia berkata saham Amerika Syarikat (AS) terutamanya mencatatkan prestasi turun naik tidak menentu tetapi indeks utama AS masih berada di sekitar kenaikan dua hingga tiga peratus susulan sokongan daripada penurunan kadar Rizab Persekutuan pada Isnin.

Bagi minggu depan, firma penyelidikan itu berkata pasaran akan memberi perhatian kepada mesyuarat Majlis Pentadbir Bank Pusat Eropah (ECB) untuk mengumumkan pakej rangsangan dengan pasaran menjangkakan penurunan lagi kadar deposit sebanyak 10 mata asas kepada -0.6 peratus.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 0.46 mata kepada 1,483.10 daripada 1,482.64 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 33.80 mata kepada 10,444.97, Indeks FBMT 100 susut 26.57 mata kepada 10,274.23, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 0.80 mata kepada 11,120.35 dan FBM 70 jatuh 156.34 mata kepada 12,717.58.

Indeks FBM ACE meningkat 6.88 mata kepada 5,245.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.91 mata kepada 14,336.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.43 mata kepada 135.23 manakala Indeks Perladangan susut 76.70 mata kepada 6,733.04.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.85 bilion unit bernilai RM12.51 bilion berbanding 19.61 bilion unit bernilai RM17.14 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 9.97 bilion unit bernilai RM11.31 bilion daripada 12.85 bilion saham bernilai RM15.50 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 2.04 bilion unit bernilai RM341.76 juta berbanding 2.39 bilion unit bernilai RM420.73 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 3.83 bilion saham bernilai RM852.22 juta daripada 4.46 bilion saham bernilai RM1.21 bilion.

– BERNAMA