Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jumlah kematian meningkat kepada 10 orang

SHAH ALAM, 22 MAC: Malaysia merekodkan satu lagi kes kematian baharu petang ini menjadikan jumlah terkini 10 orang membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 74 tahun daripada kluster jemaah tabligh, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau merupakan kes ke-259 telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac setelah mengalami simptom pada 8 Mac lalu.

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatan beliau semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang, hari ini,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Kes kesembilan yang dilaporkan awal hari ini melibatkan doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusia 48 tahun dari kes ke-890 yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Turki.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 123 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes positif keseluruhan adalah 1,306 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan siasatan awal, 74 daripada 123 kes baharu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling manakala selebihnya daripada kluster lain dan masih dalam siasatan.

Sehingga kini, seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 22 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi bilangan anggota Kementerian Kesihatan yang telah menjalani saringan pengesanan COVID-19 setakat hari ini seramai 270 daripada 460 orang didapati negatif manakala baki 190 masih menunggu keputusan.