Categories
AGENDA NASIONAL

Kereta api Bukit Bendera tutup sementara bermula 18 Jun

SHAH ALAM, 3 MAC: Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera di Pulau Pinang akan ditutup sementara selama tujuh hari bermula 18 Jun ini untuk kerja penyelenggaraan tahunan berjadual kedua, tahun ini.

Menurut kenyataan Perbadanan Bukit Bendera (PHC), perkhidmatan kereta api itu akan beroperasi semula selepas penyelenggaraan tahunan selesai pada 25 Jun.

“PHC melaksanakan kerja penyelenggaraan berjadual sebanyak dua kali setahun di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular iaitu Garaventa AG daripada Switzerland, untuk memastikan sistemnya sentiasa dalam keadaan terbaik dan memenuhi pemeriksaan syarat keselamatan yang ketat.

“PHC juga menjalankan pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan terhadap sistem funikular pada setiap hari, mingguan dan bulanan selain pemeriksaan selepas waktu operasi,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh penutupan, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan jip dikendalikan oleh syarikat persendirian dari Taman Botani atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera.

“PHC mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera. Sebarang kesulitan amatlah dikesali,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PHC di talian 04-8288880 atau e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA