SHAH ALAM 18 MAC: Gangguan bekalan air dijangka pulih apabila kesemua loji yang dihentitugas mula beroperasi, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dato’ Menteri Besar itu bersama EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian turun padang bagi mendengar taklimat mengenai perkembangan pemulihan bekalan air itu di Loji Rawatan Air SSP 1, malam tadi.
“Pemulihan bekalan air sedang dalam proses dan akan disegerakan secepat mungkin,” kata Amirudin di laman Facebooknya.
Amirudin turut memeriksa salah satu sampel air diambil di kawasan pencemaran.
Sebelum ini Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada 7 malam, semalam.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata henti tugas keempat-empat LRA ini terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.
Air Selangor melaporkan insiden pencemaran itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)untuk tindakan lanjut.