Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRA Sungai Selangor operasi semula selepas 2 jam dihenti tugas

SHAH ALAM, 27 MAC: Loji Rawatan Air (LRA) SSP1, SSP2 dan SSP3 kembali beroperasi selepas dihenti tugas kira-kira dua jam bermula 9.40 pagi tadi ekoran pencemaran disyaki sisa minyak diesel di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga LPA utama berkenaan kembali beroperasi pada jam 11.55 pagi susulan tindakan pantas pihaknya mengawal pencemaran.

“Siasatan di kawasan alur Kolam KL-Larut menemui kesan lapisan minyak berhampiran Kilang Johnsonsuise di Bestari Jaya. LUAS mengaktifkan Kod Merah kecemasan pencemaran sungai Negeri Selangor.

“Selaras dengan itu tindakan pantas LUAS mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya sebanyak 853 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kadar pelepasan di Sungai Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LUAS berkata, pembukaan sementara pintu Baraj Bestari Jaya bertujuan mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor dan pihaknya memasang lombong minyak di kawasan alur terlibat bagi mengawal baki aliran minyak daripada mengalir ke dalam Sungai Selangor.

Katanya, LUAS dan Pengurusan Air Selangor serta pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi pencemaran.

“Langkah kawalan dan mitigasi juga dilaksanakan bagi mengelakkan punca pencemaran berulang. Pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, dengan pengoperasian semula ketiga-tiga LRA tersebut tiada kawasan yang terjejas kerana paras kolam takungan pada sistem agihan bekalan air berada pada tahap optimum.

“Air Selangor sentiasa memastikan bekalan air bersih yang disalurkan kepada pengguna dipantau rapi dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Piawaian Kualiti Air Minum pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som.