Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program tuisyen Jais beri pelajar pilihan luas dalam kerjaya

SHAH ALAM, 13 MAC: Program tuisyen Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Huffaz Selangor membantu pelajar menceburi pelbagai bidang kerjaya secara meluas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program khusus untuk pelajar sekolah tahfiz persendirian di negeri ini yang bermula sejak Februari lalu menawarkan lapan subjek di lapan pusat tuisyen.

“Usaha dilaksanakan di sekolah tahfiz yang mengikuti pendidikan arus perdana membolehkan mereka menduduki peperiksaan awam dan menceburi mana-mana bidang kerjaya dengan mudah,” katanya berucap pada Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.9 juta bagi melaksanakan program kendalian Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama Persatuan Institusi Tahfiz Selangor kepada 420 pelajar terpilih.

Pada masa sama, Amirudin berkata kerjasama pintar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS), industri swasta dan syarikat korporat di bawah Kerajaan Negeri perlu diteruskan bagi melahirkan huffaz professional.

“Saya merakamkan penghargaan kepada LZS yang menyumbangkan dana besar dalam pendidikan tahfiz antaranya dermasiswa kecil kepada huffaz berjumlah RM432,000 setahun,” katanya.