Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia berdepan undian sukar pada kejohanan terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia berdepan undian sukar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata yang akan berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil bermula 31 Mac hingga 5 April.

Berdasarkan undian semalam yang diadakan di pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini, pemain ranking ke-13 dunia itu akan berdepan pemain ranking dunia keenam, Jonatan Christie dari Indonesia dalam pusingan pertama.

Juara bertahan dan juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China, akan memulakan aksi mempertahankan gelarannya, berdepan bintang baru dari Thailand, Khopsit Phetpradab, manakala pilihan pertama, Chou Tien Chien dari Taiwan yang juga pemain nombor tiga dunia, akan berdepan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho.

Pasangan beregu profesional Malaysia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong bakal berdepan laluan rumit dalam aksi pusingan pembukaan menentang juara bertahan, Li Jun Hui dan Liu Yu Chen dari China.

Dalam kategori perseorangan wanita, pemain nombor satu negara, Soniia Cheah menghadapi tugas besar menentang juara bertahan dan pemain nombor dua dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan.

Pasangan beregu campuran negara, Tan Kiang Meng dan Lai Pei Jing akan memulakan kempen menentang juara dua kali, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong dari China yang bakal melakar sejarah sebagai pasangan pertama menyempurnakan kejuaraan hatrik sejak 2018.

Rakan sepasukan mereka, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan berdepan perlawanan pusingan pembukaan berliku menentang pilihan kelapan, Hafiz Faizal dan Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia, manakala pemain profesional negara, pilihan keenam Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying akan beraksi menentang pasangan bukan pilihan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

Kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750 itu, menawarkan wang tunai keseluruhan US$750,000 (RM3.178 million).

– BERNAMA