Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM tumpu ujian skala besar, lokasi risiko

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian berskala besar terhadap kumpulan dan lokasi berisiko tinggi yang dipercayai mampu menyebarkan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia termasuk kumpulan dari kluster himpunan di Masjid Jamek Sri Petaling, sekolah tahfiz dan individu yang pulang dari luar negara, sementara lokasi tumpuan di Hulu Langat, Menara City One Kuala Lumpur dan Kluang, Johor.

“Melalui fokus ini, KKM dapat mengesan kes baharu, seterusnya membolehkan mereka segera diasingkan dan diberi rawatan yang betul,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, KKM berjaya mengesan 11 lagi kes baharu di Hulu Langat selepas menyaring 1,797 penduduk, sekali gus menjadikan jumlah kes 339.

“Di Menara City One, 24 lagi kes baharu dikesan setelah 1,893 penduduk disaring, sementara di Kluang sebanyak 33 kes baharu dikesan menjadikan keseluruhan kes 170,” katanya.

Katanya, seramai 18,310 individu dari kluster jemaah tabligh Sri Petaling juga berjaya disaring, dengan 1,624 positif, 11,708 negatif manakala 4,978 masih menunggu keputusan.