Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: MB gesa semua pihak bersedia depani ‘kebiasaan baharu’

SHAH ALAM, 5 APRIL: Dato’ Menteri Besar menggesa pemimpin negara dan seluruh masyarakat bersedia mendepani kebiasaan baharu bagi menangani cabaran semasa susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Instagram hari ini juga mengingatkan mereka untuk berusaha keras, berdisplin dan bersedia menerima beberapa tabiat baharu sebagai sebahagian dari kebiasaan.

“The new normal (kebiasaan baharu) mendesak negara dan masyarakat agar mulai serius dengan cabaran perubahan iklim, kawalan makanan dan dasar lainnya serta mulai merangka polisi bersesuaian untuk menangani isu-isu tersebut,” katanya

Bagaimanapun, beliau yakin cabaran berkenaan dapat ditangani dengan gilang-gemilang jika semua pihak termasuk rakyat berbilang kaum berganding bahu mengatasi masalah berbangkit berikutan penularan wabak berkenaan.

Amirudin pada 26 Mac dan 1 April lalu membentang Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa satu dan dua bagi menangani masalah rakyat dan menjana sektor ekonomi.

Mengikut laporan media antarabangsa, beberapa pakar tidak menolak kemungkinan wujud tatadunia baharu manakala ekonomi global dijangka merudum.