Categories
AGENDA NASIONAL

Dua insentif bantu syarikat air ringan beban kewangan

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kementerian Alam Sekitar dan Air mengumumkan dua insentif bagi mengurangkan beban kewangan syarikat air dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kelangsungan bekalan air kepada penduduk terus terjamin.

Menterinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi pengecualian kadar fi tahunan lesen individu kepada pemegang lesen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pendapatan.

Langkah itu, katanya, akan memberi penjimatan berjumlah RM24 juta kepada pemegang lesen dan kehilangan pendapatan kepada SPAN.

Selain itu, Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) memberi penangguhan bayaran sewa pajakan aset air sedia ada untuk tempoh tiga bulan bermula April 2020 melibatkan penangguhan pembayaran berjumlah RM100 juta.

“Penangguhan ini hanya terpakai kepada sewa pajakan ke atas pinjaman bekalan air kerajaan negeri yang telah diambil alih oleh PAAB melalui inisiatif penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PKP telah memberi kesan kepada kedudukan kewangan syarikat–syarikat air disebabkan pengurangan permintaan bekalan air oleh sektor industri, komersial dan pengilangan yang dianggarkan 60 peratus, selain terpaksa menanggung kos operasi (OPEX) yang meningkat terutamanya kos pembelian bahan kimia, klorin dan bil elektrik.

Ini berikutan arahan SPAN yang mengarahkan operator air meningkatkan pengedosan klorin dalam air terawat dari 0.2 bahagian dalam sejuta (parts per million – ppm) kepada 0.5 ppm bagi membasmi virus Covid-19 yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kos OPEX utama lain termasuk pembayaran bil elektrik yang mewakili hampir 50 peratus daripada kos pengeluaran satu meter padu air bersih, katanya.

Tuan Ibrahim berkata kementerian itu melalui SPAN akan memantau bekalan air secara berterusan sepanjang tempoh PKP dan mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara.

– BERNAMA