Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, dua peruncit dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dua peniaga kedai runcit masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mempamerkan tanda harga, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, KPDNHEP Selangor berkata tindakan diambil susulan pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa cawangan Kajang di sekitar daerah tersebut dan Cheras.

Katanya, pemeriksaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan melalui bilik gerakan dan laman sesawang sistem e-aduan daripada orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hasil pemeriksaan, dua kedai runcit diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,” katanya.

Menurut KPDNHEP Selangor secara keseluruhannya, aktiviti perniagaan di lokasi pemeriksaan berjalan seperti biasa dengan peniaga menggunakan alat timbang yang ditentusahkan.

“Pemeriksaan terhadap barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, sardin dan telur mendapati bekalan mencukupi,” katanya.