Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya Hulu Langat zon merah Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 22 APRIL: Hanya Hulu Langat masih berada di bawah zon merah di Selangor dengan 52 kes aktif, menurut angka Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis negeri setakat 12 tengah hari semalam.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 1,356 kes dengan 1,012 pesakit berjaya sembuh dan 13 orang meninggal dunia setakat ini.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter menasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kawasan zon merah (mukim) sudah tinggal satu, namun warga Selangor tetap perlu berwaspada. Patuhi PKP. Tentukan mukim anda dan rujuk infografik,” kenyataan ringkas STFC dipetik.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.