Categories
AGENDA NASIONAL

Katil ICU ditaja Yayasan Petronas untuk pesakit Covid-19 diedar ke hospital

SHAH ALAM, 6 APR: Sebahagian 100 katil dari China tajaan Yayasan Petronas untuk pesakit Covid-19 diedar ke hospital kerajaan semalam, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) itu ditempah khas dari pengilang kelengkapan perubatan terbesar di Hebei iaitu Pukang Medical Equipment, tiba awal pagi kelmarin.

“Katil seberat 250 kilogram setiap satu itu diangkut ke Malaysia dengan tiga pesawat.

“Malaysia turut meminta bantuan pihak berkuasa penerbangan China (CAAC) untuk membenarkan AirAsia Kargo berlepas ke Tianjin dan Beijing bagi membawa pulang katil itu secara berperingkat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ka Siong berkata baki 72 katil lagi akan dibawa masuk dalam tempoh terdekat.

“Selain Malaysia, negara Itali, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat juga tertumpu ke China untuk mengimport katil ICU bagi kegunaan masing-masing,” katanya.