Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM banci penduduk Sungai Lui, kesan simptom Covid-19

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memulakan bancian di tiga kampung di Sungai Lui, Hulu Langat bagi mengesan penduduk yang mempunyai simptom Covid-19.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata proses itu dijangka mengambil masa tiga hari yang turut dibantu lapan pegawai dan 53 anggota polis.

“Penduduk yang mempunyai simptom akan diarah untuk melakukan ujian saringan di Klinik Desa Sungai Lui,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan Batu 21 hingga 24 Sungai Lui berkuat kuasa 30 Mac hingga 13 April.

Perintah itu dibuat selepas KKM mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di Batu 23.

Susulan itu, semua penduduk serta pelawat tidak dibenarkan keluar rumah, aktiviti perniagaan dihentikan dan laluan keluar masuk ditutup.