Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor lengkapi Persekutuan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin menjadi pelengkap kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata elemen ditawarkan Selangor bertujuan menampung ruang atau keperluan untuk membantu kerajaan Persekutuan.

“Justeru, apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan bantuan RM600 kepada petugas barisan hadapan, Kerajaan Negeri pula mengumumkan penjagaan anak-anak petugas ini,” katanya ketika diwawancara dalam Malaysia Hari ini di TV3, pagi tadi.

Pada 1 April lalu, Kerajaan Negeri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan insentif penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan kepada 2,500 keluarga dengan peruntukan RM1.5 juta.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukan RM400 juta bagi kedua-dua pakej tersebut.

Kerajaan Persekutuan pada hujung Mac dan awal April lalu mengumumkan pakej Prihatin berjumlah RM250 billion untuk disalurkan kepada semua sektor awam dan swasta yang terjejas akibat Covid-19.