Categories
ADN SELANGOR

31 mangsa banjir di Kampung Selayang Baru akan terima bantuan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seramai 31 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Selayang Baru pada 6 April lalu akan menerima bantuan dalam masa terdekat, kata  Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata buat masa ini Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengumpul maklumat lengkap semua mangsa terjejas.

“Selepas itu, kita akan buat laporan polis mengenai mangsa-mangsa banjir sebelum serahkan nama-nama itu kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak bagi mendapatkan bantuan tabung bencana daerah yang diwujudkan Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini, kita sudah menghulurkan sumbangan barang dapur seperti beras, tepung, gula dan mi segera. Selain itu, kita juga membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir sebaik air surut pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mempercepatkan kerja-kerja melebarkan sistem saliran anak Sungai Udang bagi fasa kedua memandangkan kawasan berkenaan sering dilanda banjir kilat.

“Pelebaran fasa pertama sudah berjalan namun kita berdepan beberapa masalah untuk menggerakkan kerja naik taraf bagi fasa kedua kerana memerlukan proses pengambilan tanah.

“Bagaimanapun, perkara ini sedang dilakukan oleh PTD Gombak, Majlis Perbandaran Selayang dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menyelesaikan semua masalah itu,” katanya.